Askum..pagi td bukak je email tgk2 menda nie dh ade kat e-mail aku..so aku pun copy paste bg sume org baca and think about it..
HARI ini jika ditanya 10 orang Melayu di negara ini, mungkin lima atau lebih daripada mereka kenal siapa dia Zahid, bukan Datuk Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Menteri Pelancongan, tetapi Ahmad Zahid Baharuddin juara Akademi Fantasia 2 (AF2).
Tetapi jika ditanya siapa anak Melayu bernama Irma
Nurzahrah Junian, jangankan 10, tanya 1,000 orang Melayu pun belumtentu ada yang mengenali beliau. Kejuaraan Debat Universiti Dunia yang diadakan diUniversiti Teknologi Nanyang, Singapura awal tahun ini disertai lebih 1,000 peserta daripada lebih 100 universiti termasuk Malaysia. Irma Nurzahrah, 22, dari Malaysia dinobatkan pemidato terbaik dunia apabila beliau mengalahkan peserta dari Universiti British Columbia dan Universiti Alberta, Kanada pada peringkat akhir.Tetapi sayangnya, orang kita mungkin kurang tahu hal ini kerana kurang atau tiada liputan media mengenainya. Inilah manifestasi kemelut minda orang Melayu yang seolah-olah tidak tahu lagi membezakan antara kaca dengan permata. Ia bukan saja menjangkiti orang Melayu kebanyakan bahkan kelas atasan seperti ahli korporat, pemimpin dan cerdik pandai turut dijangkiti 'wabak' ini walaupun bukan semua. Budaya mengidolakan artis atau berhibur semakin menjadi-jadi dewasa ini bahkan ada kalanya sehingga pada tahap melampau. Jika tiada hiburan majlis, program, sambutan dan apa saja peristiwa seakan-akan tidak sempurna. Daripada program amal sehinggalah ke program motivasi pelajar sekolah, artis mendapat tempat amat istimewa pada mata penganjur. Mungkin inilah puncanya sehingga ulama terpaksa bersuara agak nyaring sehingga menusuk gegendang telinga banyak pihak yang mendengar. Hatta, pada Muktamar Pas, baru-baru ini turut dilaporkan ada cadangan daripada ahli sayap Wanita parti itu yang bercadang ingin mengguna pakai pendekatan berkonsert bagi menarik minat lebih ramai orang muda terhadap parti itu, walaupun kononnya dengan pendekatan yang lebih Islamik. Soalnya, kenapa mesti hiburan?
Untuk 'perjuangan' 10 minggu, artis seperti Zahid di AF2, Melayu sanggup menitiskan air mata, berbelanja sehingga RM7.5 juta untuk khidmat pesanan ringkas (SMS), demam panas, membuang masa berjam-jam menonton televisyen serta mengadakan majlis sambutan dan penghargaan untuknya setelah beliau dinobatkan sebagai juara. Kebetulan hampir semua universiti baru saja selesai mengadakan majlis konvokesyen masing-masing. Tetapi bagi pelajar Melayu yang lulus cemerlang selepas berhempas pulas bertahun-tahun memerah otak untuk memakai jubah dan menerima ijazah pada majlis konvokesyen, ada sesiapa yang menangis selain ibu bapa mereka atau membuat sambutan bagi menghargai usaha dan kejayaan mereka kerana mereka anak kelahiran tempat atau daerah tertentu? Apakah usaha Zahid seorang sehingga berjaya menyarung jubah 'konvokesyen' AF2 setanding usaha seorang pelajar Melayu yangberjaya menamatkan pengajian walaupun cacat penglihatan?
Apa hebatnya Zahid yang berjaya mengalahkan peserta dari negeri lain dengan mendendangkan lagu Biarkan Bulan Bicara dan Milikku berbanding Irma Nurzahrah dan rakannya Raihan Ismail yang berjaya ke peringkat akhir debat dunia kategori bahasa Inggeris sebagai bahasa keduamembahaskan tajuk That Japan Should Involve In Peacekeeping In Foreign Land mengalahkan peserta dari negara lain?
Nampaknya menyarung jubah AF dan menerima hadiah daripada Ramli MS lebih mahal pada mata kebanyakan orang Melayu daripada menyarung jubah konvokesyen dan menerima segulung ijazah daripada canselor atau rektor universiti. Apa sudah jadi?
Sindrom berhibur melampau ini sebenarnya menampakkan kecetekan jiwa dan minda bangsa Melayu yang sejak sekian lama sememangnya berkrisis. Kemelut minda orang Melayu telah lama menjadi topik dan tema pelbagai perbincangan, tulisan dan seminar inisiatif cerdik pandai dan pemimpin Melayu.
Namun, hingga kini ia masih sukar untuk dirungkai.Salah siapa? Mereka yang berbincang, menulis atau berseminar atau mereka yang malas berfikir. Berhibur tidak salah jika kena pada tempat dan caranya. Tetapi berhibur semata-mata bukanlah cara bangsa yang merdeka. Hidup penuh hiburan adalah simptom kejatuhan dan keruntuhan sesuatu tamadun.
Barat berdiri megah kerana maju. Malangnya jiwa bangsa mereka tempang kerana hedonisme menjadi sebahagian budaya hidup mereka. Tamadun yang mereka bina sebenarnya menuju kelam. Allah swt tidak melarang manusia berhibur mengikut lunas petunjuk-Nya, tetapi Allah mengangkat darjat orang yang berilmu. Jika kita dambakankejayaan duniawi dan ukhrawi maka hendaklah menjadi hamba kepada ilmu dan bukannya menjadi abdi kepada hiburan. Orang Melayu di negara ini memikul dwiamanah yang cukup besar sifatnya Sebagai khalifah mentadbir alam ini daripada manusia pertama bernama Adam as, dan sebagai pewaris kedaulatan tanah tumpah darah ini daripada pejuang kemerdekaan silam. Pada 31 Ogos, genap 47 tahun kita merdeka daripada penjajahan imperialis. Kita seronok kibarkan bendera dan laungkan merdeka,tetapi mungkin tiada yang menitiskan air mata menginsafi pengertian, keperitan dan pengorbanan di sebalik erti sebuah kemerdekaan melainkan mereka yang terbabit melakar sejarah itu.
Tetapi yang menghairankan apakah alasan orang kita menangis melihat idola mereka 'terkorban' dalam AF dan rancangan seumpamanya. Jangan sampai kita menang sorak, tanah tergadai kerana kita memang telah banyak bersorak untuk perkara yang tidak berfaedah.
Maka, jika selepas ini ada sesiapa yang bertanya Irma Nurzahrah itu anak siapa, kelahiran mana dan belajar di universiti mana untuk memberi penghargaan kepadanya, terserahlah kepada orang Melayu sendiri untuk mencari jawapannya, jika masih ada yang sudi.
so..what do you think..??